Orang Ulu @ Dayak Rumpun Apau Kayan

             Jana side income anda

Istilah Orang Ulu ialah satu gelaran ciptaan politik untuk mengumpulkan kira-kira lebih 30 kelompok etnik kecil dari suku kaum dayak yang berbeza-beza di Sarawak, Malaysia dengan jumlah populasi di sekitar 200,000 hingga 250,000 orang (jumlah bilangan ini tidak termasuk bilangan di Kalimantan, Indonesia) 
Di Kalimantan Indonesia,  mereka dikenali sebagai Rumpun Apau Kayan. Istilah Orang Ulu bukan merupakan istilah rasmi dan ia tidak wujud dalam Perlembagaan Malaysia. Istilah ini dipopularkan oleh satu persatuan di Sarawak yang dibentuk pada tahun 1969 yang dikenali sebagai "Orang Ulu National Association" @ "Persatuan Kebangsaan Orang Ulu" (OUNA).
Di Sarawak masyarakat Orang Ulu biasanya tinggal di rumah panjang yang dihiasi dengan lukisan mural dan ukiran kayu yang cantik. Mereka sangat terkenal dengan tatu dan kraftangan manik yang rumit. Orang Ulu juga turut dapat dikenali daripada nada muzik tradisi mereka yang unik iaitu bunyi khas SAPEQ,  iaitu satu jenis kecapi yang berbentuk perahu yang dipetik yang mempunyai dua tali, tiga tali, empat tali dan malah ada enam tali. 
Sebilangan besar masyarakat Orang Ulu adalah beragama Kristian. Walau bagaimanapun, agama tradisi lama masih juga diamalkan oleh sebilangan kecil di beberapa kawasan. 
Suku Dayak yang tergolong dalam kumpulan Dayak Rumpun Apau Kayan @ Orang Ulu yang tinggal di sepanjang sempadan Malaysia Timur dan Kalimantan, Indonesia terdiri daripada Kenyah, Kayan, Bahau, Seputan / Uheng Kereho, Aoheng / Penihing, Kejaman, Lahanan, Sekapan, Punan, Ukit, Penan, Lun Bawang, Lun Dayeh, Murut, Berawan, Kelabit, Beketan, Kiput, Lisum, Tanjong, Konawit, Tabun, Tagal, Bisaya dan banyak lagi. 
Gelaran Orang Ulu ini juga ditujukan khas kepada kaum-kaum tersebut kerana kebanyakan mereka mendiami bahagian hulu Sungai dan dataran tinggi seperti di hulu Batang Rajang iaitu seperti di Daerah Belaga,Telang Usan/Baram, Ba'Kelalan, hulu Limbang, Bario, Data Kakus, Usun Apau termasuk Apau Kayan di Kalimantan.

Comments